MENU

Lembaga Bandaran Pekan (1970-1981)

Sebelum Daerah Maran diwujudkan, Bandar Maran yang terletak di dalam Mukim Luit berada di bawah pentadbiran Lembaga Bandaran Pekan seperti yang diwartakan dalam Warta Kerajaan Negeri Pahang G.N 380/55 dan kemudian dipinda mengikut G.N 45/68.

Berdasarkan takrif Penguasa Tempatan terdapat petempatan bandar ketika itu iaitu Bandar Maran (dibawah pentadbiran Lembaga Bandaran Pekan) dan Pekan Chenor (petempatan bandar di Daerah Temerloh)

(sumber : Perangkaan Banci Penduduk, 1970 & 1980).

Lembaga ini dipengerusikan oleh Pegawai Daerah Pekan. Kawalan pentadbiran ini yang beribu pejabat di Pekan adalah meliputi peraturan-peraturan Perbandaran. Namun dengan bilangan kakitangan hanya 5 orang iaitu seorang Pengawas Bandar dan 4 orang buruh, segala urusan hanyalah dibuat di pejabat kecil yang ditempatkan di pasar Bandar Maran. Kerja-kerja tertumpu kepada aktiviti pembersihan dan pengindahan di Bandar Maran sahaja.

Pembangunan fizikal boleh dilihat dengan adanya bangunan-bangunan kerajaan ketika itu seperti Balai Polis, Pejabat Daerah, Telekom, Pejabat Kadi, Pejabat Haiwan, Pejabat Pertanian, Balai Penghulu (sudah dirobohkan), sederet kedai bersebelahan Balai Polis (juga telah dirobohkan), Pejabat JKR, Kesihatan, Sekolah Rendah Maran, Pejabat Pos, Pejabat LLN (sekarang TNB). Di samping itu, bangunan-bangunan lain adalah seperi dewan, pasar, kedai peringkat 1, bazar 37 unit, perumahan kilat dan kilang papan.

Lembaga Bandaran Pekan 

Lembaga Bandaran Pekan

Lembaga Bandaran Kecil Maran (1981-1988)

Pada 1hb. Januari 1981, bermulalah satu era baru apabila Daerah Baru Maran telah diwujudkan. Ia merupakan daerah ke 10 bagi Negeri Pahang Darul Makmur. Daerah ini merupakan cantuman dari 4 buah Mukim iaitu Mukim Luit, Chenor, Kertau dan Bukit Segumpal yang merangkumi keluasan kawasan berjumlah 770 batu persegi.

Bandar Maran dan Pekan Chenor telah menjadi petempatan bandar di Daerah Maran. Lembaga Bandaran Kecil Maran telah ditubuhkan berasingan daripada Lembaga Bandaran Pekan sebagai Penguasa Tempatan untuk mengawal dan memberi perkhidmatan perbandaran ke kawasan dalam lingkungan 1 batu persegi (Pelan Induk Daerah Maran, 1988).

Pewujudan daerah baru telah turut meletakkan sebahagian besar kawasan Lembaga Kemajuan Wilayah Jengka (pada ketika itu dikenali sebagai Perbadanan Kemajuan Jengka, PKJ) ke dalam Daerah Maran.

Terdapat 3 buah bandar telah dirancang untuk dibangunkan dalam kawasan Wilayah Jengka yang terletak dalam Daerah Maran iaitu Bandar Pusat Jengka, Bandar Barat Daya dan Bandar Tenggara. Jikalau mengikut kepada perancangan asalnya, pada keseluruhannya 60% petempatan bandar di Daerah Maran adalah terdiri daripada bandar-bandar baru di kawasan LKWJ.

Walaupun Lembaga Bandaran Kecil Maran ini telah tertubuh namun ia masih belum mampu dari segi kakitangan dan kepakaran dalam membangunkan Daerah Maran. Oleh yang demikian segala kerja-kerja yang berkaitan dengan perancangan dan pembangunan adalah dibawah tugas Pejabat Daerah Maran yang diketuai oleh Pegawai Daerah sendiri selaku Pengerusi Lembaga Bandaran Kecil Maran ketika itu. Bangunan-bangunan tambahan yang wujud semasa pengawalan lembaga ini adalah seperti stesen bas, kedai peringkat II dan balai bomba.

Majlis Daerah Maran (1988-sekarang)

Majlis Daerah Maran ditubuhkan pada 1hb. Julai 1988 melalui Warta Kerajaan Negeri Pahang No. 502 bertarikh 23hb. Jun 1988. Penubuhan Majlis Daerah Maran adalah merupakan percantuman dua pihak Penguasa Tempatan sediada ketika itu iaitu Lembaga Bandaran Kecil Maran dan Majlis Tempatan Chenor. Ini termasuklah beberapa pekan-pekan kecil iaitu Bandar Jengka, Simpang Tajau, Simpang Awah, Pekan Sungai Jerik dan Pekan Sri Jaya.

Majlis Daerah Maran, sejajar dengan pertambahan penduduk, permintaan kemudahan awam, kemajuan teknologi dan peningkatan taraf perkhidmatan berusaha ke arah meningkatkan prestasi perkhidmatan dan pembangunan terhadap kawasan tadbirannya.

Disamping itu juga, terdapat pertambahan pembinaan bangunan-bangunan kedai, gerai, dewan, masjid, padang permainan, kawasan rekreasi dan sebaginya. Ini termasuklah kemudahan-kemudahan yang telah disediakan oleh Pihak Lembaga Kemajuan Wilayah Jengka (LKWJ). Merujuk kepada Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Pahang, satu keputusan telah dicapai dalam Mesyuarat ke 58 pada 24hb. November 1993 bahawa pentadbiran, pengurusan dan perkhidmatan Perbandaran Bandar Pusat Jengka (sekarang Bandar Jengka) diambil alih oleh LKWJ daripada Majlis Daerah Maran selama tempoh 5 tahun mulai 1hb.Januari 1994 sehingga 31hb.Disember 1998.

Pada masa itu, Majlis Daerah Maran ditadbir oleh pecahan 6 unit iaitu Unit Pentadbiran, Unit Kewangan, Unit Perancang Bandar, Unit Teknikal, Unit Penilaian dan Taksiran serta Unit Pelesenan, Penguatkuasaan dan Perkhidmatan Bandar.

(sumber : buku aturcara majlis perasmian pejabat MDM)