MENU

MAKLUMAT ASAS CUKAI TAKSIRAN AM MDM

PENILAIAN CUKAI TAKSIRAN

Cukai Taksiran dikenakan oleh Majlis Daerah Maran mengikut Akta Kerajaan Tempatan 1976.

 

JENIS HARTANAH YANG DIKENAKAN CUKAI

Kadar Taksiran dikenakan ke atas pegangan seperti berikut:

  • Rumah kediaman
  • Harta perniagaan (kedai, hotel dan sebagainya)
  • Harta industri (kilang, pelabuhan dan sebagainya)
  • Tanah kosong (perumahan, bangunan dan industri)
  • Tanah Ladang

 

PENENTUAN CUKAI TAKSIRAN

Kadar Taksiran untuk harta-harta berkadar ditentukan berdasarkan kepada formula seperti berikut :

Kadar Taksiran = Nilai Tahunan x Kadar %

  • Penentuan "Kadar %"
    Secara umumnya kadar % ditentukan mengikut keperluan Anggaran Belanjawan Majlis, atau kos-kos tahunan yang ditanggung oleh majlis dalam bentuk kos pentadbiran, kos perkhidmatan dan kos pembangunan dan diluluskan oleh Majlis Mesyuarat Kerajaan (MMK) setiap tahun.

  • Penentuan "Nilai Tahunan"
    Nilai Tahunan = Anggaran Sewa Kasar Sebulan x 12 bulan Anggaran sewa kasar bagi rumah ditentukan berasaskan rumah-rumah sejenis yang berdekatan. Setiap rumah mempunyai "nilai sewa" tanpa mengira samada rumah tersebut diduduki sendiri, disewakan ataupun rumah ditinggalkan kosong kerana gagal disewakan.

 

TUJUAN NOTIS TAKSIRAN

  • Mengikut Seksyen 141(2), notis kadaran merupakan notis pemberitahuan kepada pemilik-pemilik hartabenda mengenai cadangan nilai tahunan yang ditentukan ke atas hartabenda mereka. Selain itu, ia juga bertujuan untuk memaklumkan kepada pemilik-pemilik hartabenda atau penghuninya mengenai cukai kadaran yang akan dikenakan.

 

BANTAHAN TERHADAP NOTIS TAKSIRAN

  • Seseorang yang terkilan dengan cadangan nilai tahunan di dalam notis kadaran, bantahan boleh dibuat melalui surat yang dialamatkan kepada Majlis Daerah Maran.

 

MESYUARAT RAYUAN CUKAI

  • Pemilik hartabenda yang membuat bantahan diberi peluang menghadirkan diri di hadapan Jawatankuasa Mendengar Bantahan dalam Mesyuarat Jawatankuasa Mendengar Bantahan Cukai bagi mengemukakan alasan-alasan kepada bantahannya. Sekiranya pemilik tidak dapat hadir dalam mesyuarat tersebut, pemilik boleh mewakilkan orang lain bagi pihak dirinya dengan syarat wakil tersebut hendaklah mengemukakan 'Surat Kuasa' yang telah ditandatangani oleh pemilik tersebut.

 

PEMBERITAHUAN KEPUTUSAN BANTAHAN

  • Keputusan bantahan ke atas Nilai Tahunan akan dimaklumkan kepada setiap pemilik hartabenda berkadar melalui surat.

 

RAYUAN SEMULA SELEPAS KEPUTUSAN DITERIMA

  • Jika pemilik masih tidak berpuas hati dengan keputusan yang dibuat oleh Jawatankuasa Rayuan Cukai, pemilik boleh merayu kepada Mahkamah Tinggi dengan cara usul permulaan. Walaubagaimanapun, pemilik perlu membayar terlebih dahulu amaun cukai kadaran yang telah diputuskan itu kepada Majlis Daerah Maran. (Syarat ini diperuntukan di bawah Akta Kerajaan Tempatan 1976)

 

MENJELASKAN CUKAI TAKSIRAN

  • Pemilik diminta membayar cukai taksiran sebaik sahaja bil tersebut diterima dari Bahagian Penilaian Dan Pengurusan Harta setiap penggal. (Januari - Februari & Julai - Ogos)

 

PENGGAL TAKSIRAN

PENGGAL TAKSIRAN adalah tempoh bagi pengeluaran dan pembayaran bil cukai taksiran seperti peruntukan Akta Kerajaan Tempatan 1976 iaitu :

  • Penggal bayaran bagi bil-bil cukai kadaran adalah seperti berikut:
     
     Penggal  Tempoh Pembayaran
     Pertama  1hb Januari sehingga 28hb. Februari
     Kedua  1hb Julai sehingga 30hb. Ogos