MENU

ydp_anuarudin.jpg
Bismillahirahmanirahim Assalamualaikum WBT,

Perutusan Tahun Baharu 2026
Yang Dipertua Majlis Daerah Maran
Kepada Semua Warga Daerah Maran

----

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh,
Salam Sejahtera dan Salam Tahun Baharu 2026.

Alhamdulillah, setinggi-tinggi kesyukuran ke hadrat Allah SWT kerana dengan limpah kurniaNya, Majlis Daerah Maran (MDM) terus melangkah ke hadapan dalam mendepani cabaran pembangunan bandar dan penyampaian perkhidmatan awam yang semakin kompleks dan dinamik.

Tahun 2026 menandakan satu fasa penting dalam perjalanan Majlis Daerah Maran ke arah membentuk sebuah pihak berkuasa tempatan yang progresif, berteraskan teknologi, berdaya tahan dan mampan, selari dengan aspirasi Malaysia MADANI, Agenda Reformasi Perkhidmatan Awam serta komitmen terhadap Matlamat Pembangunan Mampan (SDG).

Majlis Daerah Maran akan terus komited untuk memperkukuh pendigitalan perkhidmatan sebagai pemangkin utama kecekapan organisasi dan kepuasan pelanggan. Pendekatan bandar pintar ini bukan sekadar penggunaan teknologi, tetapi merangkumi tadbir urus pintar, perkhidmatan pintar dan komuniti pintar, yang akhirnya meningkatkan kualiti hidup rakyat serta memperkukuh kepercayaan awam terhadap perkhidmatan PBT.

Sejajar dengan Agenda Reformasi Perkhidmatan Awam, Majlis Daerah Maran akan terus memperkukuh budaya kerja berintegriti, telus, responsif dan berprestasi tinggi. Penambahbaikan proses kerja, pemantapan tadbir urus, peningkatan kompetensi warga kerja serta penggunaan teknologi sebagai pemudah cara akan terus diperkasakan.

Akhir kata, saya merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada seluruh warga Majlis Daerah Maran atas komitmen, dedikasi dan kerjasama yang tidak berbelah bahagi selama ini dan mengharapkan usaha lebih dipergiatkan pada tahun 2026. Kejayaan transformasi ini hanya akan tercapai melalui kesepaduan usaha semua pihak, termasuk sokongan masyarakat setempat dan rakan strategik.

Marilah kita bersama-sama melangkah ke tahun 2026 dengan tekad untuk menjadikan Daerah Maran sebagai sebuah bandar yang pintar, mampan dan sejahtera, demi kesejahteraan rakyat dan kemakmuran bersama.

Sekian, terima kasih.

“Bersama Membina Maran Mampan dan Pintar”

 

Encik Muhamad Anuarudin bin Mohd Yusoff@Ahmat

Yang Dipertua
Majlis Daerah Maran

Yang Dipertua
Majlis Daerah Maran
Encik Muhamad Anuarudin Mohd Yusoff@Ahmat